Friday 17 May 2013

Selamat bertemu kembali


Assalamualaikum Warahmatullah, salam ukhuwah kepada pembaca yg budiman.

Selamat bertemu kembali.

Syukur ke hadrat Allah SWT yang memberi kekuatan untuk kita bangun pada hari ini, bernafas, dan masih punya kesempatan mencicip juadah sarapan masakan ibu, ayah, atau sesiapa sahaja. Pokoknya kita masih punya rezeki untuk dijamah. Siapa tahu, beribu-ribu kilometre dari tempat duduk kita ini, seorang anak kecil mungkin sedang ligat mengais tong sampah untuk sarapan paginya.

Syukur ke hadrat Allah SWT yang keranaNya, mata kita boleh menafsir setiap aksara dan membaca setiap bait perkataan yang tertulis ketika ini. Siapa tahu, beribu-ribu kilometre dari papan kekunci kita ini, seseorang itu mungkin tidak tahu menulis dan membaca. Barangkali kerana desakan kemiskinan atau tiba-tiba beban menyara keluarga perlu dipikul olehnya pula.

Ya, siapa tahu.

Siapa tahu pada hari ini mungkin seorang Islam telah pun murtad. Dia sudah tidak lagi punya syahadah dalam hatinya. Nauzubillah, kita mohon kepada Allah SWT supaya janganlah ada diantara kita dan saudara seagama yang terpengaruh dengan bisikan syaitan laknatullah yang selalu menyesatkan. Sesungguhnya, nikmat Iman dan Islam inilah yang harus sentiasa kita syukuri. Bersyukur pula dengan cara kita mengamalkan syariat Allah SWT dan berusaha membaiki amalan hari demi hari.



Beberapa hari yang lepas, saya dengan tiba-tiba terkenang akan blog saya ini. Blog ini pada mulanya, saya cipta untuk berkongsi segala apa yang saya pelajari dan hadam sepanjang perjalanan saya dalam dakwah dan tarbiah. Nama Adihusni pula, jika diingat-ingat kembali, telah dibidankan semasa saya sedang usrah. Oleh sebab ketika itu, ramai rakan seusrah yang mempunyai blog, maka saya pun teringin nak menulis blog. Jadi niatnya sudah salah.

Beberapa lama dalam blog, saya diserang oleh apa yang dipanggil sebagai ‘writer’s block’. Suatu keadaan di mana penulis itu tersekat dan tidak tahu hendak menulis tentang apa; bahkan untuk memulakan ayat pun saya tidak tahu! Usrah pula pada waktu itu belum membumi dalam hati saya. Saya tidak bersemangat dalam dakwah dan tarbiah. Mungkin sebab itulah saya jadi tidak bersemangat menulis blog ini. Pengajian di kolej pula semakin menyesakkan jadual, ditambah pula dengan peperiksaan yang semakin hampir. Sampai satu saat, saya memutuskan untuk tidak menulis blog lagi.

Sebetulnya, jika tidak ada blog pun tidak mengapa. Kemudahan teknologi internet dan komunikasi  memanglah sangat berguna dalam usaha dakwah, tapi pada zaman Rasulullah SAW, Islam tetap juga berkembang tanpa teknologi-teknologi seperti ini. Maka sudah terbukti yang Islam boleh berkembang tanpa internet. Tetapi harus diingat, baginda juga menggunakan tulisan sebagai medium dakwah. Rasulullah SAW pernah menulis beberapa surat kepada beberapa pemimpin, menyeru mereka untuk mensucikan hati mereka daripada segala ilah kecuali Allah SWT. Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa dakwah menggunakan medium penulisan memang salah satu sunnah Rasulullah SAW. Bezanya, pada hari ini, blog, fesbuk, twitter, dan medium sosial yang lain memudahkan kita untuk menyebarkan sesuatu penulisan. Tak perlu lagi seorang utusan berkuda untuk menghantar satu-satu penulisan yang kita karang.

Inilah hakikat dakwah dalam penulisan yang perlu disedari oleh penulis-penulis beragama Islam. Berusaha menyebarkan kata-kata Rasulullah SAW dan pesan-pesan kebenaran melalui penulisan. Malangnya saya sebagai penulis terlupa akan hakikat ini; bahawa betapa besar tanggungjawab seorang penulis makalah, penulis puisi, cerpenis, novelis dan blogger yang beragama Islam untuk menyampaikan usaha dakwah. Nah, kalau menulis pun sambil lewa, janganlah harap pembaca akan tiba-tiba terus meningkat imannya. Kita dahulu sebagai daei harus mengasah iman dan mata pena kita supaya sentiasa tajam. (pesanan ini untuk diri saya sendiri)

Telah berkata as-Syahid Imam Hasan al-Banna:

“Setiap seorang daripada kamu mestilah mempunyai sekurang-kurangnya satu kemahiran”

Imam Hassan al-Banna sendiri pernah bekerja sebagai wartawan; menyebarkan dakwahnya melalui penulisan. Beliau juga mempunyai kemahiran membuat jam dan pernah memiliki kedai jam.

Dan lagi saya pernah membaca seorang tokoh dakwah Indonesia yang berkata:

“Setiap dari apa yang ada pada kita itu harus ada kontribusinya untuk dakwah”

Saya sebenarnya lebih cenderung menulis puisi. Saya mula mengarang puisi sejak umur saya 14 tahun. Saya kira, inilah salah satu kemahiran yang saya ada dan saya bersyukur kerana dibimbing oleh seorang guru sewaktu sekolah menengah dalam penulisan puisi. Maka seharusnya pada hari ini, kemahiran itu saya gunakan untuk dakwah dan tarbiah supaya Islam kembali menang dan di padang Mahsyar nanti saya ada bahagian daripada kemenangan itu.

Maka pada hari ini, (pada saat ini) saya bertekad untuk bersungguh-sungguh membaiki tulisan dan puisi saya. Islam perlu diperjuangkan. Malah, sastera Islam perlu maju semula dan perlu lebih hebat daripada sastera hedonisme yang memabukkan. Oleh sebab itu, saya mohon supaya pembaca mendoakan diri saya yang lemah ini agar sentiasa tsabat dalam perjuangan dakwah penulisan. In shaa Allah, riwayat pena saya selamanya akan diabadikan dalam perjuangan ini.

~ADIHUSNI~

2 comments:

  1. wah. mantap akhi adihusni ni :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya baru nak bertatih dalm bidang penulisan blog. Mohon tunjuk ajarnya ya, Pengembara Jalanan,..

      Delete