Wednesday, 29 May 2013

Topeng-topeng kitakah?


Kitakah itu?
Yang enak
bersiul leka
tetapi pabila
beriak takdir
kitalah
bersorak takbir
sehingga seraklah suara
melaungkan janji Ilahi
yang sememangnya pasti?

Kitakah itu?
yang gerak amal
tersangat kikir
walhal
 membaca kitab hadis
sampai akhir
dan mengumat-ngamit
kalimat suci di bibir?

Kitakah itu?
sambil duduk berbulat
 berangguk angguk khusyuk
 konon tenggelam dalam taujihat
semangat
mengayuh ke arah matlamat
bersama setitis keringat
dan bekal tekad sekerat?

Kitakah itu?
Yang membuka topeng
tatkala sunyi dari mata insan
rakus mengisi tembolok nafsi
dan mabuk duniawi?

Buangkan sajalah topeng itu
seberapa lapis pun senyummu
Allah tetap tahu.

~Adihusni~

Tuesday, 28 May 2013

Bejana Hiba



Bejana Hiba

plastik
dan botol
diterajang
kekasih yang
sendat erat
berpegang

suara 
ombak
tenggelam 
dalam 
jerit serak 
sorak motokar
yang gila 
mengoyak

mengapa
tergamak
ketika laut
menghulur 
rezeki
dari Ilahi
kau suapkan 
pula ia
dengan
najis loji? 

tapi ah,
pepasir halus 
mengelus kaki
memujuk 
hati ini

bayu juga
masih lagi 
bernyanyi
cuma 
lagunya kini
hanya elegi

bersimpati, lalu 
kulemparlah 
pandang hiba 
ke arah 
laut kosong...

Apakah
aku saja
berhiba?

Ya,
mungkin saja
laut inilah
air mata
tangis
hiba dunia 

atau
hiba satu dunia
sudah 
dibenam 
ke dasar
sedalamnya

aneh,
tenang saja
dalam riak
dan
kocak manja 
samudera
menerimanya
seolah
memang dialah
bejana hiba

tetap juga
setiap senja
sinar 
yang kudus
itu ada 
di atas sejalur
cahaya mentari
yang damai
didakap
ufuk jingga

Monday, 20 May 2013

Hujan pagi




           


        Aku yang bangkit tergesa
                            Kerana hujan pagi.
                                  Curah deras dari langit
                           menyimbah bumi
                  supaya bangun
dari ketandusan malam tadi.

Tiadalah burung berkicau lagu
                   atau jerit hon yang sebu
                        yang ada hanya deru syahdu
            titis yang pecah di mana-mana
                         di bumbung, tar, dan rerumputan
                                              membasahi kehidupan

                          Tengahari kini,
         Hujan telah berhenti
Langit tersenyum pelangi
               Burung kembali menyanyi
                            Dan pabila angin datang,
                                 mengirim salam bahagia,
                     mendakap dedaunan kuyup,
embun pun jatuh dari silara

           Aku yang bangkit tergesa
                            Kerana hujan pagi
                                       Terbangun dari mimpi.

~Adihusni~

Friday, 17 May 2013

Selamat bertemu kembali


Assalamualaikum Warahmatullah, salam ukhuwah kepada pembaca yg budiman.

Selamat bertemu kembali.

Syukur ke hadrat Allah SWT yang memberi kekuatan untuk kita bangun pada hari ini, bernafas, dan masih punya kesempatan mencicip juadah sarapan masakan ibu, ayah, atau sesiapa sahaja. Pokoknya kita masih punya rezeki untuk dijamah. Siapa tahu, beribu-ribu kilometre dari tempat duduk kita ini, seorang anak kecil mungkin sedang ligat mengais tong sampah untuk sarapan paginya.

Syukur ke hadrat Allah SWT yang keranaNya, mata kita boleh menafsir setiap aksara dan membaca setiap bait perkataan yang tertulis ketika ini. Siapa tahu, beribu-ribu kilometre dari papan kekunci kita ini, seseorang itu mungkin tidak tahu menulis dan membaca. Barangkali kerana desakan kemiskinan atau tiba-tiba beban menyara keluarga perlu dipikul olehnya pula.

Ya, siapa tahu.

Siapa tahu pada hari ini mungkin seorang Islam telah pun murtad. Dia sudah tidak lagi punya syahadah dalam hatinya. Nauzubillah, kita mohon kepada Allah SWT supaya janganlah ada diantara kita dan saudara seagama yang terpengaruh dengan bisikan syaitan laknatullah yang selalu menyesatkan. Sesungguhnya, nikmat Iman dan Islam inilah yang harus sentiasa kita syukuri. Bersyukur pula dengan cara kita mengamalkan syariat Allah SWT dan berusaha membaiki amalan hari demi hari.



Beberapa hari yang lepas, saya dengan tiba-tiba terkenang akan blog saya ini. Blog ini pada mulanya, saya cipta untuk berkongsi segala apa yang saya pelajari dan hadam sepanjang perjalanan saya dalam dakwah dan tarbiah. Nama Adihusni pula, jika diingat-ingat kembali, telah dibidankan semasa saya sedang usrah. Oleh sebab ketika itu, ramai rakan seusrah yang mempunyai blog, maka saya pun teringin nak menulis blog. Jadi niatnya sudah salah.

Beberapa lama dalam blog, saya diserang oleh apa yang dipanggil sebagai ‘writer’s block’. Suatu keadaan di mana penulis itu tersekat dan tidak tahu hendak menulis tentang apa; bahkan untuk memulakan ayat pun saya tidak tahu! Usrah pula pada waktu itu belum membumi dalam hati saya. Saya tidak bersemangat dalam dakwah dan tarbiah. Mungkin sebab itulah saya jadi tidak bersemangat menulis blog ini. Pengajian di kolej pula semakin menyesakkan jadual, ditambah pula dengan peperiksaan yang semakin hampir. Sampai satu saat, saya memutuskan untuk tidak menulis blog lagi.

Sebetulnya, jika tidak ada blog pun tidak mengapa. Kemudahan teknologi internet dan komunikasi  memanglah sangat berguna dalam usaha dakwah, tapi pada zaman Rasulullah SAW, Islam tetap juga berkembang tanpa teknologi-teknologi seperti ini. Maka sudah terbukti yang Islam boleh berkembang tanpa internet. Tetapi harus diingat, baginda juga menggunakan tulisan sebagai medium dakwah. Rasulullah SAW pernah menulis beberapa surat kepada beberapa pemimpin, menyeru mereka untuk mensucikan hati mereka daripada segala ilah kecuali Allah SWT. Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa dakwah menggunakan medium penulisan memang salah satu sunnah Rasulullah SAW. Bezanya, pada hari ini, blog, fesbuk, twitter, dan medium sosial yang lain memudahkan kita untuk menyebarkan sesuatu penulisan. Tak perlu lagi seorang utusan berkuda untuk menghantar satu-satu penulisan yang kita karang.

Inilah hakikat dakwah dalam penulisan yang perlu disedari oleh penulis-penulis beragama Islam. Berusaha menyebarkan kata-kata Rasulullah SAW dan pesan-pesan kebenaran melalui penulisan. Malangnya saya sebagai penulis terlupa akan hakikat ini; bahawa betapa besar tanggungjawab seorang penulis makalah, penulis puisi, cerpenis, novelis dan blogger yang beragama Islam untuk menyampaikan usaha dakwah. Nah, kalau menulis pun sambil lewa, janganlah harap pembaca akan tiba-tiba terus meningkat imannya. Kita dahulu sebagai daei harus mengasah iman dan mata pena kita supaya sentiasa tajam. (pesanan ini untuk diri saya sendiri)

Telah berkata as-Syahid Imam Hasan al-Banna:

“Setiap seorang daripada kamu mestilah mempunyai sekurang-kurangnya satu kemahiran”

Imam Hassan al-Banna sendiri pernah bekerja sebagai wartawan; menyebarkan dakwahnya melalui penulisan. Beliau juga mempunyai kemahiran membuat jam dan pernah memiliki kedai jam.

Dan lagi saya pernah membaca seorang tokoh dakwah Indonesia yang berkata:

“Setiap dari apa yang ada pada kita itu harus ada kontribusinya untuk dakwah”

Saya sebenarnya lebih cenderung menulis puisi. Saya mula mengarang puisi sejak umur saya 14 tahun. Saya kira, inilah salah satu kemahiran yang saya ada dan saya bersyukur kerana dibimbing oleh seorang guru sewaktu sekolah menengah dalam penulisan puisi. Maka seharusnya pada hari ini, kemahiran itu saya gunakan untuk dakwah dan tarbiah supaya Islam kembali menang dan di padang Mahsyar nanti saya ada bahagian daripada kemenangan itu.

Maka pada hari ini, (pada saat ini) saya bertekad untuk bersungguh-sungguh membaiki tulisan dan puisi saya. Islam perlu diperjuangkan. Malah, sastera Islam perlu maju semula dan perlu lebih hebat daripada sastera hedonisme yang memabukkan. Oleh sebab itu, saya mohon supaya pembaca mendoakan diri saya yang lemah ini agar sentiasa tsabat dalam perjuangan dakwah penulisan. In shaa Allah, riwayat pena saya selamanya akan diabadikan dalam perjuangan ini.

~ADIHUSNI~

Sunday, 8 July 2012

"To be a better man"

Syahdu lirik Better Man dengan nyanyian serak basah Robbie Williams menjadi teman saya pada petang ini,..


Saya sangat mengharap bahawa pada semester kali ini semuanya akan berjalan lancar. Kata seorang tua yang berpengalaman kepada saya: kalau ingin berjaya di akhir semester, mesti mula awal semester!

Saya berdoa agar saya, sahabat, umat muslimin dan para pembaca akan dikurniakan semangat Ramadhan yang bakal mengunjung.

Biar harum berkatnya bulan ini mengisi hela nafas kita ketika cengkam nafsu menyesakkan dada.

Ya, saya ingin: "to be a better man......"

Monday, 23 April 2012

Cahaya Tuhan

Kadang-kadang, saya selalu jadi sedih melihat orang-orang yang mengeluh:

"Kalaulah tuhan tu betul-betul Maha Penyayang, kenapa hidayah tu dia tak bagi je kat semua orang??
"Mana hidayah? ...Mana? Kalau aku dah dapat Cahaya hidayah dari tuhan, aku takkan jadi jahat macam ni"

Dan serentak itu juga batin saya teriak:

Meraba di tanah dirimu
cari Cahaya Tuhanmu
gelita segenap rasa
bukan kerna tiada Cahaya
kerana belum terbuka matamu
dan aku kira kau bukan si buta?

Saturday, 7 April 2012

Puisi Pendakwah (Bahagian 1)



Pokok Bunga Kuning


Pokok bunga kuning,
rimbun daun dahan yang kaku padu.
tumbuhnya di tepi jalan
asap debu jadi makanan
pentas gagak berlagu
tempat iklan dipaku

Pokok bunga kuning
Kuning bunganya tak berbau
isi bunganya tak bermadu
gugur bunganya melayang-layang
dipijak orang lalu-lalang

Pokok bunga kuning
Kukuh batang tubuh berdiri
Kanvas lukis lambang janji
Di sisinya bocah kecil bersila
meminta-minta ihsan manusia
banir akarnya bantal selesa
peminum todi yang lara
dan sentiasa
walau musim berganti
ia sentiasa menadah
mengharap rahmat Ilahi

Pokok bunga kuning
hidupnya di tengah metropolitan
berteman resam hidup insan
jauh dari ibu di hutan


Adi Husni
Kolej Cendana, Shah Alam